Bicara Integriti 1 – Mari Berbincang Mengenai Integriti

Mari Berbincang Mengenai Integriti

Apakah integriti? Itulah soalan yang selalu saya ajukan kepada semua peserta apabila saya memulakan ceramah kesedaran integriti. Saya telah memberikan ceramah kesedaran integriti kepada ribuan pekerja di seluruh Malaysia dan di beberapa buah negara. Banyak pendapat yang saya terima daripada para peserta yang menyertai ceramah saya. Pemahaman mereka tentang integriti mungkin berbeza kerana latar belakang budaya, pendidikan, pergaulan sosial, dan didikan agama. Ada peserta yang memberi maksud integriti sebagai kejujuran, ada yang menjawab integriti itu disiplin, kasih sayang antara satu sama lain, patuh perintah Allah, ramai juga yang mengatakan integriti ialah tidak menerima rasuah, tidak melakukan rasuah, atau menipu orang lain.

Berbalik kepada persoalan, apakah itu integriti? Dan seperti biasa, selepas mereka memberi pendapat, saya akan membalas kepada mereka bahawa semua jawapan mereka adalah betul, “Jawapan yang anda semua laungkan adalah betul” Pada saya asalkan apa yang dikatakan oleh peserta itu baik dan membawa kepada kebaikan diri sendiri dan juga orang lain, ia adalah integriti. Kemudian saya menambah bahawa untuk menjadi seorang yang berintegriti, nilai-nilai murni ini bukan sahaja perlu ada dalam hati kita, malah ia juga perlu diamalkan dalam kehidupan sepanjang masa tidak kira dimana kita berada. Kebanyakan peserta sudah tahu apa itu integriti, kerja saya sepatutnya mudah, tetapi mungkin tidak semudah yang saya jangkakan.

Saya percaya perkataan ‘’integriti’ bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Masyarakat mengetahui integriti melalui pembacaan, pengalaman dan juga dari pelbagai sumber yang lain, tetapi memahami dan menghargai apa itu integriti adalah dua perkara yang berbeza. Saya pasti bahawa kita semua membaca beberapa kes rasuah yang seringkali menjadi tajuk utama berita di dalam negara. Beberapa kes ini melibatkan pegawai-pegawai berpangkat tinggi atau pengurusan kanan. Mereka sepatutnya lebih tahu tentang integriti, bukan? Jika kita meminta mereka bercerita dan menentukan integriti, saya fikir mereka akan memberikan jawapan yang sangat baik. Lebih baik daripada pekerja bawahan ataupun staf sokongan. Pernah saya bertanya kepada ahli pengurusan tertinggi tentang perbelanjaan hiburan yang berlebihan. Jawapan yang saya terima adalah “Kenapa tidak? semua orang melakukannya, ia adalah cara ia berfungsi dalam industri ini”. Sejujurnya, saya terkejut dan kecewa kerana tidak menyangka jawapan ini datangnya daripada seorang pegawai yang berpangkat tinggi. Nilai integriti perlu ada pada setiap orang, terutamanya mereka yang berpengaruh, berjawatan tinggi ataupun seorang ketua. Keperibadian mereka ini akan menjadi contoh ikutan kepada orang lain, jika pemimpin melakukan perkara yang tidak baik, maka pengikutnya akan melakukan perkara yang lebih teruk. Tetapi jika pemimpin itu menunjukkan contoh yang baik, maka contoh itu akan diikuti oleh orang lain.

Pernahkah anda berada dalam situasi di mana anda mempunyai keraguan tentang keputusan yang anda buat? Dilema memilih antara jalan yang betul atau salah. Salah seorang peserta telah bertanya kepada saya, apakah yang patut beliau lakukan sekiranya beliau telah diminta membayar “duit kopi” untuk mempercepatkan proses rasmi. Saya memberi dia contoh berkenaan seorang kawan yang cekal dan sabar memutuskan untuk mendapatkan kelulusan dengan mengikuti prosedur yang betul. Saya memberitahunya bahawa saya tidak boleh memutuskan apa yang perlu dia lakukan, saya mencadangkan kepadanya supaya dia bertanya pada diri sendiri apa erti integriti kepadanya. Adakah berbaloi untuk melupakan nilai integritinya? Adakah dia sanggup mempertahankan integritinya atau tunduk kepada tekanan dan menjadi sebahagian daripada masalah rasuah dan salahguna kuasa? Sudah tentu saya meminta beliau memilih melakukan perkara yang betul iaitu menegakkan integritinya. Realitinya, ramai yang tahu apa itu integriti, tetapi mungkin ramai di luar sana akan menghadapi dilema integriti atau konflik antara kepentingan diri dan menegakkan nilai integriti diri. Ia tidak mudah kerana kadangkala kita perlu melepaskan peluang. Tetapi bagi saya, peluang akan datang dan pergi tetapi integriti kekal bersama kita selama-lamanya.

Mengetahui dan menghargai integriti adalah dua perkara yang berbeza. Integriti tidak boleh diperolehi hanya dengan mengetahui apa itu integriti. Ia perlu difahami dan perlu dilakukan dengan sepenuh hati, sama ada kita mempunyai integriti, atau kita tidak mempunyai integriti. Menyampaikan mesej integrity kepada semua orang adalah perkara yang mudah untuk dilakukan, tetapi cabaran yang lebih besar adalah untuk menjadikan orang ramai menghargai integriti. Seperti kata orang yang bijak pandai, tugas kita cuma mengingatkan orang sekeliling supaya berbuat baik dan semoga dengan usaha kita ini, Allah boleh membimbing semua orang yang berada di sekeliling kita untuk melakukan perkara yang baik. Insya Allah.

Ditulis oleh.
Mohd Zahari Mohd Alias
CFE CMIIA CA(M) CeIO ABMS