Bicara Integriti 2 – Mengenali Diri Sebelum Menilai Orang Lain

Mengenali Diri Sebelum Menilai Orang Lain

Teringat saya kisah Khalifah Umar Abdul Aziz meminta seorang Alim untuk menasihatinya. “Ya Amirul Mukminin, kamu bukanlah Khalifah pertama yang akan mati” Kisah ini disampaikan oleh seorang penceramah dan ia mengisahkan tentang Khalifah Umar Abdul Aziz yang semasa hidupnya gemar menjemput para alim untuk memberi nasihat peribadi kepadanya.

“Sebelum kamu sudah ada ramai khalifah yang mati” Sambung Alim itu. Pengajaran pertama, berapa ramaikah antara kita yang berani untuk menasihati pemimpin kita, ketua kita jika kita lihat pekara yang perlu ditegur? Adakah ketua kita yang boleh menerima teguran dari orang bawahan? Adakah ego ini rela menerima teguran yang disampaikan? Kita seharusnya mempunyai sifat keberanian untuk menegur ketua kita untuk kearah kebaikan dan ketua seharusnya mempunyai rasa rendah diri untuk menerima teguran.

Alim itu mengingatkan Umar ” Semenjak zaman Nabi Adam sehingga sampai giliran kamu, kamu akan merasa mati, tiada seorang pun yang boleh mengelak diri dari kematian”. Sambung Alim itu lagi “diakhirat kelak, diantara syurga dan neraka tiada tempat tengah, dan firman Allah, sesungguhnya orang yang berbakti dengan melakukan ketaatan akan merasa kenikmatan syurga, dan orang yang berbuat jahat akan berada di dalam neraka.”

Pengajaran kedua adalah orang yang melakukan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan orang yang berbuat jahat akan dibalas dengan balasan yang buruk. Tapi siapakah diantara kita ini adalah orang yang baik dan siapakah diantara kita ini adalah orang baik dan siapakah yang jahat? Alim itu berkata lagi.

“Dan wahai Umar kamu lebih tahu adakah kamu orang yang baik atau kamu orang yang jahat”

Pengajaran ketiga adalah jangan kita menilai orang lain menentukan sama ada mereka orang jahat atau mereka orang baik. Kita, sewajarnya menilai diri kita sendiri dahulu sebelum menilai orang lain. Kita lebih tahu adakah kita banyak melakukan amal kebaikan atau keburukkan bermula dari awal pagi semasa bangun tidur hingga ke malam sebelum kita tidur. Melalui penilaian diri sendiri kita akan mengenal diri kita dimana kelemahan yang perlu diperbaiki dan apa kelebihan yang perlu dikekalkan. Semoga dengan usaha menilai diri dan memperbaiki diri sendiri akan menjadikan kita khalifah yang lebih berintegriti dan menjadi ikutan kepada orang yang kita pimpin. Insya Allah.

Dikarang oleh
Mohd Zahari Mohd Alias
CFE CMIIA CA(M) CeIO ABMS